Selepas dua filem seram komedi (Ngangkung dan Hantu kak Limah Balik Rumah) menutup tirai tahun 2010 dengan cemerlang, muncul pula buah tangan Syamsul Yusof dengan Khurafat Perjanjian Syaitan. Ketiga-tiga filem ini betul-betul membanggakan saya. Penangan Ngangkung dan Hantu Kak Limah Balik Rumah memang hebat. Lihat saja kutipan yang dicatat Ngankung yang mencecah RM8juta dan HKLBR juga hampir mencecah angka RM8juta. Bermakna filem ini diterima oleh khalayak dan penggemar filem melayu.
Filem Khurafat juga tidak kurang hebatnya walau pun bukan dalam genre komedi apabila telah berjaya mencecah kutipan RM5juta. Saya percaya kutipan ini akan terus meningkat dan akan mencecah kutipan sehingga RM6juta. Kutipan hebat yang pernah dipecahkan oleh ayah Syamsul sendiri iaitu Dato Yusof Haslam untuk filem Sembilu.
Apa hebatnya filem Khurafat? Syamsul yang selama ini begitu sinonim dengan filem aksi telah membuat percubaan pertama dalam genre seram. Secara peribadi saya akui Syamsul berjaya dalam percubaannya. Sebagai penonton biasa saya memang terhibur dengan seram yang ditampilkan dalam Khurafat. Cuma saya tak berapa suka dengan babak terkejut yang kadang-kadang membuat jantung saya hampir luruh. Apa yang menarik di sini bagi saya adalah mesej yang ingin disampaikan. Jelas, mengamalkan ilmu hitam, melakukan syirik, khurafat dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran agama adalah dilarang dan berdosa besar. Harga yang harus dibayar adalah amat besar dan mungkin akan dibalas oleh Allah atas dunia lagi.
Garapan cerita yang membawa kita kepada masalah gangguan makhluk halus dalam keluarga yang baru dibina oleh Johan amat menarik hati saya. Johan yang digambarkan sebagai seorang yang mentaati agama, rapat dengan imam kampung, menyebabkan kita mencari-cari watak antagonis yang mencelarukan keluarga mereka. Anna gadis clubbing bekas teman wanita Johan menjadi mangsa mudah untuk dipersalahkan memandangkan cinta taksubnya kepada Johan sehingga sanggup datang ke rumah Johan di waktu malam sewaktu Johan bersama isterinya. Mak cik tukang sapu yang selalu memerhati Johan dengan pandangan misteri juga menjadi orang yang disyaki.
Kemuncaknya apabila Anna mati membunuh diri kerana tidak sanggup menerima hakikat kehilangan Johan dari hidupnya. Gangguan syaitan terhadap Johan dan isterinya juga semakin menjadi-jadi. Akhirnya segala-gala terkupas apabila punca permasalahan itu adalah dari Johan sendiri. Johan pernah menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan Anna pada satu masa dulu. Perjanjian Johan akan kekal bersama dengan Anna dan tidak mensia-siakan Anna akhirnya dilanggar apabila Johan mengambil Aishah sebagai isterinya.
Penutup yang membuat penonton ternganga. Termasuk saya sendiri. Nasihat saya kepada penggemar filem melayu yang masih belum menonton Khurafat Perjanjian Syaitan, sila ke panggung sekarang. Tak rugi...
No comments:
Post a Comment