Apabila Filem Haq menjengah panggung saya bagaikan tak sabar untuk beratur membeli tiket. Banyak faktor yang mendorong saya untuk menonton filem ini, antaranya kerana Zul Huzaimy yang menjadi kegemaran saya dengan lakonan mantapnya walau apa pun watak yang diberi. Sedutan-sedutan aksi di kaca TV juga menambah keinginan saya dengan anggapan filem ini menjanjikan kelainan pada filem-filem aksi superhero yang cuba diketengahkan oleh filem-filem aksi sebelum ini.
Tapi apabila saya duduk menyaksikan filem ini, jelas ia amat mengecewakan, terlalu perlahan dan banyak yang perlu penonton berfikir sendiri tentang babak yang ditampilkan. Babak Raja Farah yang mahu diculik, babak aksi pergaduhan antara Adiputra dengan sekumpulan lelaki, sekadar latihankah? Maaf, khalayak filem melayu masih belum sampai ke peringkat masuk panggung dan banyak berfikir, walaupun mereka tahu tapi bagi mereka itu aktiviti memenatkan. Berfikir dalam panggung wayang membuatkan mereka bosan, mereka mahu dipaparkan secara terus semua cerita yang ingin disampaikan, walau apa cara, mengikut kronologi cerita atau pun flashback.
Namun kelemahan yang paling ketara pada filem ini adalah terlalu perlahan, walaupun dijanjikan dengan aksi superhero, tapi aksi itu tidak sampai 20%. Paling banyak di penghujung cerita apabila Haq dan Bad berentap, tapi turut mengecewakan apabila pertarungan itu dipaparkan terlalu pendek walaupun penonton cuba diberitahu pertarungan itu berlangsung lama dari waktu malam membawa ke siang.
Malang bagi filem ini, berjaya menarik segelintir penggemar filem melayu yang tak berkira menjengah panggung walaupun perlu membayar sehingga RM13 (harga tiket di Suria KLCC), tapi kelompok ini bukan mampu membuat satu-satu filem itu boxofis.
Sinopsis cerita yang menarik, barisan pelakon yang hebat, aksi superhero yang tak pernah ada pada filem-filem melayu sebelum ini, itu semua tidak tersangkal oleh saya. Zul yang beralih watak kepada protagonis juga menarik minat saya. Gambar yang cantik juga mendapat pujian saya.
Lakonan mantap setiap pelakon memang tidak dinafikan, walaupun Zul dan Adiputra bertukar tempat, tetapi lakonan mereka tetap mantap, Nanu, Cikgu Fatimah, Raja Farah dan lain-lain yang membantu, semuanya mempersembahkan lakonan mantap.
Tapi kesudahannya ia amat mengecewakan saya, komen saya ini pun penuh dengan kekecewaan, kecewa kerana saya mengharap satu kepuasan dari filem ini. Saya mahu mendabik dada satu lagi filem yang mendapat kutipan hebat selepas kebelakangan ini hanya dipelopori oleh kebanyakan genre seram dan juga komedi.
Khabarnya akan ada sequel untuk Haq, sekiranya benar khabar ini, tolonglah, jangan jadikan ia filem perlahan yang setaraf dengan drama di TV. Khalayak yang menonton mahu kepuasan apabila duduk menghadap layar, soal logik atau tidak penonton kita sudah boleh terima akhir-akhir ini. Tapi kalau sesebuah filem itu buat mereka menguap, mereka pasti akan marah. Faktor ini lah kenapa filem seram dan filem komedi berjaya.
Kepada penggemar-penggemar filem melayu, sila ke panggung untuk pastikan komen saya ini benar atau silap.